topbella

Thursday, 28 April 2011

Akhlak dan Diri Setiap Muslim


 Imam al-Ghazali, ”Akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu.”



Sabda Rasulullah saw:
   “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang mulia.”
Setiap manusia tidak boleh dipisahkan dengan akhlak dan moral. Hal ini kerana,setiap amalan, perbuatan atau tindakan yang diambil oleh individu tidak akan terlepas atau terkeluar daripada lingkungan hukuman sama ada terhadap dirinya atau orang lain atau benda lain iaitu adakah baik atau tidak tindakan tersebut. Jika ianya baik,perkara itu akan terus dilakukan,tetapi sekiranya jahat, perkara itu akan ditinggalkan. Maka,itu merupakan akhlak yang baik. Namun sekiranya perkara yang jahat tetap dilakukan ,maka ia dikira sebagai akhlak yang buruk.
            Jelas ternyata, kedudukan akhlak sangat penting dalam kehidupan manusia hinggakan setiap individu merasakan bahawa perlunya ada suatu akhlak yang diakui bersama oleh mereka agar dapat mengatur kehidupan yang lebih baik menurut pandangan mereka.
            Islam agama yang syumul merangkumi aqidah dan syariat yang mengandungi roh akhlak. Islam tanpa akhlak ibarat jasad yang tidak bernyawa dan seperti rangka yang tidak berisi.Hal ini kerana, akhlak adalah roh kepada risalah Islam sementara syariat adalah lembaga jelmaan daripada roh tersebut.



Kepentingan Akhlak Dalam Diri Setiap Muslim

Kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan Allah s.w.t. adalah untuk membawa kerahmatan kepada seluruh alam semesta. Allah telah mengungkapkan hal ini menerusi surah al-Anbiyaa’, ayat 107:
 Maksudnya : " Dan tidaklah kami mengutuskan engkau( wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat bagi sekalian alam " .
            Ketinggian akhlak merupakan tunjang kepada keteguhan iman seseorang muslim. Islam mengingatkan umatnya akan kepentingan memelihara akhlak  dan mengamalkan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian. Sebagai hamba yang beriman dan tunduk kepada perintah Allah s.w.t., kita tidak dibenarkan melakukan sebarang kemungkaran, kemaksiatan, kekejian dan seumpamanya yang ternyata ditegah oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w  dipilih oleh Allah s.w.t.  untuk membawa misi  kesejahteraan kepada seluruh umat di dunia. Ternyata, salah satu kunci kejayaan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan risalah dakwah ialah dengan memiliki ketinggian akhlak dan mempraktikkannya dalam kehidupan Baginda. Contohnya, Baginda menjaga  hubungan dengan keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, bahkan dengan golongan kafir juga Baginda sering menunjukkan akhlak mulia ini. Gambaran ketinggian akhlak Baginda s.a.w. juga dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam surah Al-Qalam ayat  4 yang berbunyi :
Maksudnya : " Dan bahawa sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia ” .  
            Akhlak dan sirah perjalanan Rasul s.a.w  merupakan contoh teladan yang dapat mendidik diri dan peribadi Muslim agar sentiasa beriman dan bertakwa.  Hal ini kerana setiap perbuatan, perkataan, pengakuan dan tingkah laku Baginda mengandungi hikmat serta menghuraikan prinsip-prinsip yang terkandung didalam Al-Quran. Tuntasnya, kita tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat sekiranya setiap perkataan dan tindakan kita adalah berpandukan akhlak dan sirah perjalanan Baginda.

About Me