Kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan Allah s.w.t. adalah untuk membawa kerahmatan kepada seluruh alam semesta. Allah telah mengungkapkan hal ini menerusi surah al-Anbiyaa’, ayat 107:
Maksudnya : " Dan tidaklah kami mengutuskan engkau( wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat bagi sekalian alam " .
Ketinggian akhlak merupakan tunjang kepada keteguhan iman seseorang muslim. Islam mengingatkan umatnya akan kepentingan memelihara akhlak dan mengamalkan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian. Sebagai hamba yang beriman dan tunduk kepada perintah Allah s.w.t., kita tidak dibenarkan melakukan sebarang kemungkaran, kemaksiatan, kekejian dan seumpamanya yang ternyata ditegah oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w dipilih oleh Allah s.w.t. untuk membawa misi kesejahteraan kepada seluruh umat di dunia. Ternyata, salah satu kunci kejayaan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan risalah dakwah ialah dengan memiliki ketinggian akhlak dan mempraktikkannya dalam kehidupan Baginda. Contohnya, Baginda menjaga hubungan dengan keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, bahkan dengan golongan kafir juga Baginda sering menunjukkan akhlak mulia ini. Gambaran ketinggian akhlak Baginda s.a.w. juga dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang berbunyi :
Maksudnya : " Dan bahawa sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia ” .
Akhlak dan sirah perjalanan Rasul s.a.w merupakan contoh teladan yang dapat mendidik diri dan peribadi Muslim agar sentiasa beriman dan bertakwa. Hal ini kerana setiap perbuatan, perkataan, pengakuan dan tingkah laku Baginda mengandungi hikmat serta menghuraikan prinsip-prinsip yang terkandung didalam Al-Quran. Tuntasnya, kita tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat sekiranya setiap perkataan dan tindakan kita adalah berpandukan akhlak dan sirah perjalanan Baginda.


0 comments:
Post a Comment